|
Ari - lakonan Aaron Aziz
Ari merupakan seorang penyiasat persendirian dengan agensi penyiasatannya sendiri. Dia pernah bertembung dengan Intan bila diupah oleh seorang Datin yang curiga tentang hubungan Intan dengan suaminya.
Ari merupakan anak tunggal dan telah dibesarkan oleh ibunya sendirian setelah ayahnya meninggal ketika dia masih kecil. Kenangan suami tersayang begitu kuat di hati ibu Ari, lantas dia tidak berkahwin lagi sehinggalah Ari menjangkau usia tiga puluhan. Ari begitu menyanjungi kesetiaan ibunya terhadap arwah ayahnya, lalu dia berazam tidak akan berkahwin selagi tidak bertemu cinta yang sebegitu hebat.
Tugas Ari yang selalu memerlukannya menyiasat kecurangan suami isteri menjadikannya seorang yang sinis terhadap cinta. Dia lebih-lebih lagi tidak mempunyai pandangan yang tinggi terhadap orang seperti Intan yang dirasakan mempergunakan cinta demi mencapai hidup senang. Namun begitu, sedikit demi sedikit Intan berjaya juga meretakkan dinding yang menutup hati Ari…

Datuk Hisham - lakonan Eizlan Yusof
Datuk Hisham merupakan seorang tokoh korporat yang tersohor. Dalam mengendalikan urusan syarikat-syarikat milik keluarganya, Datuk Hisham telah mencipta nama yang disegani. Dengan latar belakangnya dari keluarga kelas atasan, ditambah pula dengan perwatakannya yang terkenal budiman, serta raut wajahnya yang kacak, Datuk Hisham semestinya jatuh ke dalam kategori calon suami yang amat diingini.
Setelah kematian isterinya yang tersayang, Datuk Hisham belum lagi menjumpai wanita yang boleh mengisi kekosongan di hatinya. Bukan sebab dia tidak ingin mencari, tetapi situasinya dirumitkan oleh keluarganya yang agak cerewet. Sebagai anak lelaki tunggal, tentu saja keluarganya inginkan hanya yang terbaik untuknya. Arwah isterinya merupakan menantu yang amat disayangi, lalu kini setiap wanita yang muncul di dalam hidup Datuk Hisham pasti diteliti dan dibandingkan oleh keluarganya.
Datuk Hisham sendiri sebenarnya seorang yang telus dan serba ringkas, tidak sukakan komplikasi. Bila bertemu dengan Bella, dia serta-merta tertarik. Namun, adakah tarikan semata-mata cukup untuk mengisi jurang antara pipit dengan enggang?

Faqir - lakonan Redza Minhat
Faqir merupakan salah seorang penumpang kapal percutian yang dinaiki oleh Intan dan Bella. Dengan tidak disangka-sangka, dia terserempak dengan Bella yang telah diminatinya sejak menonton "Siapa Nak Kahwin Jutawan?". Walaupun Bella langsung tidak berminat dengannya, Faqir cuba sedaya-upaya untuk mendekati Bella dan akhirnya mereka menjadi kawan.
Faqir adalah seseorang yang amat berterus-terang, tidak takut untuk meluahkan fikirannya. Sebab itulah, walaupun rasa tertarik dia tetap tidak dapat mengelak dari bergaduh dengan Bella. Faqir langsung tidak bersetuju dengan pendirian Bella tentang cinta dan wang, namun mula mengambil berat tentang Bella. Dapatkah dia mengetepikan perasaannya dan membantu Bella mencapai hasrat untuk bersama Datuk Hisham?
-- |